Salam Ramadhan Al Mubarak~

Ramadhan tiba lagi...hari hari ketiga umat Islam berpuasa di bulan yang penuh kerahmatan dan kemuliaan ini. Aku mengimbau kenangan berpuasa bersama teman-teman serumah di Dungun semasa aku menuntut di UiTM pada tahun 2007 sehingga 2009. Memori yang cukup manis. Tahun pertama aku di UiTM aku berpuasa di hostel, makanan di'tapau' dari dining hall dan makan bersama-sama di bilik. Selepas berbuka, berjalan kaki ke masjid untuk berterawih. Tahun kedua dan tahun terakhir pula menyaksikan aku berpuasa di rumah sewa. Masak beramai-ramai lepas pulang dari kelas dan berkongsi lauk-pauk. Kalau tidak memasak, pasti bazaar Ramadhan akan dikunjungi. Aku takkan lupa pengalaman aku berjinak-jinak dengan ikan bakar. Cukup-cukup berkesan di hati. Terus jatuh hati. Tak layan lauk lain bila ada ikan pari bakar. Selepas berbuka, rancak berbual sampai tangan kering dengan bekas nasi. Kadang-kadang terlajak sampai waktu menghampiri Isyak. Mulalah kelam-kabut mengemas dan basuh pinggan. Aku rindukan kenangan itu. Cukup rindu. ;-)

Tahun ni aku berpuasa dengan pekerjaan baru. Balik dari kerja, berbuka puasa bersama keluarga. Tiga tahun belajar di rantau orang, aku berpuasa tanpa keluarga di sisi. Kali ini aku kembali menikmati hidup bersama keluarga. Bersahur dan berpuasa bersama. Riuh suara mama abah kejutkan aku dan adik-beradik dari tidur untuk bersahur masih lagi kedengaran biarpun usia aku sudah 24 tahun. Suara inilah yang aku rindu waktu belajar di UiTM dulu. Pengalaman berpuasa di rumah sewa tak sama seperti dengan family. Waktu sahur biasanya makan Cookie Crisp bersama susu coklat Dutch Lady. Cuma waktu berbuka agak meriah dengan telatah teman-teman yang menghiburkan. Aduhai, rindunya aku dengan kenangan lalu!




Aku mengharapkan puasa kali ini lebih baik daripada sebelumnya. Secara peribadi, aku berharap bulan Ramadhan kali ini dapat mendidik jiwa dan minda aku secara total. Bulan Ramadhan, syaitan diikat...maka tiada alasan untuk aku bermalas-malasan mengerjakan ibadah atau memberikan 1001 alasan untuk perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Di bulan puasa inilah aku belajar mengawal emosi dan kesabaran aku. Alhamdulillah, bulan yang mulia ni aku merasa lebih tenang...

Comments

Popular Posts